Hujan.

Hujan. Musim paling manis untuk berkarya. Ketika hujan pagi. Bau memori kadangkala harum kadangkala pahit menghimpit. Selebihnya, hidup ini hanyalah singkat. Semua akan berlalu dengan pantas.

Hujan. Musim paling manis untuk bermimpi. Ketika hujan pagi. Kita pun larut. Dalam hati yang pernah. Bertemu tanpa bercinta.

Advertisements

Kembali

Mohd Ali Md Salim.

Jiwamu membelah awan biru. Segala budi usahamu menabur di medan ilmu. Pecah. Bisu. Berderai bunga-bunga doa. Turun ke bumi. Bak payung biru dari syurga. Kau – semadi dalam hati kami. Tak tercapai tangan mengusap. Tetapi hati dekat. Doa mengerat. Aku. Kau. Kita. Dan DIA yang menyayangimu. Membicarakan nasib kita dalam bahasa rahsia. Siapa tahu. Kita pernah berdoa. Pernah bercinta denganNYA. 

Kutabur bunga biru dalam doa. Untukmu. Mohd Ali Md Salim. MH17. 

 

Kampung Warisan

Ketika kita berpuisi untuk kekasih

ada mata yang airnya tak kering mengalir

ada penguasa zalim kekenyangan bergelimpangan

ada pemimpin tangan hitam bergelak ketawa di celah riba wanita simpanan

kita pun mengusung mimpi

berpuisi lagi

 

Usah kita berpeluk dengan bayang kekasih lama

yang sudah renyuk wajahnya dimamah masa marilah kita hayun tangan

menjerit laungkan pembebasan

kalaupun kita disembur api

demi maruah dan sejarah   kampung warisan

tempat keringat dan air mata

datuk nenek kita tumpah.

Ketika Cinta Tidak Lagi….

Ketika cinta tidak lagi dibicarakan
Oleh bibir yang arif
cinta akhirnya menjadi jualan di tepi jalan
tertulis di dalam naskah murahan

Ketika cinta tidak lagi dibicarakan
oleh bibir yang arif
semakin ramai jiwa terbunuh
semakin darah mengalir laju
semakin nanar semakin kacau bilau
dan gelisah pun membelah.

Zaharah Muhammad

Hujan

Image

Hujan. Malam ini hujan. Seminggu dua ini memang hampir setiap hari, hujan. Alhamdulillah. Terima kasih kepada yang mengirimkan doa kepada saya. Alhamdulillah. Semangat untuk ‘menyunting’ manuskrip yang bertahun terbengkalai berjalan dengan lancar. Seperti hujan. Sejuk. Nyaman. Indah.

Allah, meski ini adalah novel yang kuistilahkan sebagai novel cinta, berikanlah aku petunjuk agar ia tidak jadi sebagai sebahagiaan bait-bait kayu yang akan terbakar di dalam neraka. Jadikan cinta yang memenuhi hati kami sebgai cinta yang Engkau redhai. Cinta untuk para ibu yang kami cintai, para ayah yang kami kasihi, para sahabat yang kami rindui. Semoga cinta yang membara ini tidak membakar, sebaliknya memeluk kami dengan rahmat dan pertolongan-Mu.

Terima kasih kerana mendoakan saya.

Zaharah Muhammad.

Hara (II)

Tahun 2007, saya hasilkan manuskrip BHS. Siap separuh. Kerana ia novel cinta. Tahun 2009, saya sangat berazam untuk menyiapkan manuskrip BHS. Saya berikhtiar sedaya upaya. Hingga saya namakan tahun 2009 sebagai tahun Ildivo, tahun Frank Sinatra, tahun kitaro, tahun entah apa lagi lagu cinta klasik yang sesuai dengan telinga. Konon, hendak dapatkan ‘roh’ cinta. Pergilah berkubu di KubuKarya (ini memang tempat pertapaan saya). Bangun jam 4 pg, jam 6.45 selak langsir menghadap pintu gelangsar, nampak pokok besar di padang rumput hijau. Sepohon pokok yang sangat rendang. Biasanya jam 9 pagi dan 5 petang, akan ada seorang perempuan India tua akan duduk di bawah pokok besar tersebut. Sesekali dia akan mengejar ayam-ayamnya di padang yang dipenuhi rumput yang subur. Saya menulis dan menulis. Sesekali apabila terasa tulang belakang macam hendak patah, saya pun ke kedai membeli 2 aiskrim, dan saya pun pergi duduk makan aiskrim dengan Aci tua itu. Kami, berhasa itik ayam kerana dia hanya tahu bahasanya sahaja. Lalu kami makan-makan aiskrim sambil senyum-senyum, angguk-angguk. Kadang-kadang kelihatan peluh meleleh di pipinya dan dia tetap tersenyum menampakkan giginya yang merah dan sudah rosak.

Suatu ketika dahulu, ketika di kolej, saya pernah teringa seorang senior yang membebel-bebel tentang makanan halal. Senior dari jabatan fiqh dan usul itu memberitahu, peluh orang bukan islam adalah najis.

Hal inilah yang melambatkan proses menyiapkan manuskrip BHS. Saya mahu jadi matang. Saya mahu jadi terbuka. Islam itu bukan agama eksklusif untuk golongan tertentu sahaja. Sepertimana syurga itu bukanlah eksklusif untuk kita sahaja. Allah, kasih sayangNya, menyeluruh untuk semua makhluk yang Dia cipta.

Apabila saya menamatkan manuskrip BHS, saya telah menghantarnya kepada 3 penerbit yang berbeza. Penerbit pertama, saya email. 3 bulan saya hubungi pihak penerbitan, diberitahu email saya belum dibuka. Saya membatalkan manuskrip saya dan menghantarnya kepada penerbit ke-2. Kali ini saya hantar lengkap dengan salinan bercetak. Selepas 3 bulan, saya menghubungi penerbit, tetapi diberitahu mereka tidak menerima naskah manuskrip saya (mungkin kerana pejabat telah berpindah), saya membatalkan sekali lagi, dan saya hantar ke sebuah penerbitan yang ke-3 (yang saya rasa sangat bagus, kerana kulit depannya yang sangat saya suka). Respons sangat cepat, setuju diterbitkan, tetap perlu diubah latar tempat. Ya, untuk BHS, saya telah ‘bereksperimen’ mereka-reka latar tempat  (kononnya ini kisah melapaui batas geografi, batas kaum sehingga saya mahu pembaca meneka dalam gelap apakah bangsa watak yang ada dalam novel saya). Disebabkan saya telah ‘bereksperimen’, maka saya berpedirian ingin menyimpan manuskrip itu untuk simpanan peribadi. Ya, setiap penerbitan mempunyai ciri khusus yang dikehendaki ke atas sesebuah menuskrip. Saya menghormati dan berlapang dada.

Tiba-tiba, ujian hidup datang bertimpa-timpa. Saya larut dalam peribadi yang menguji. Takdir Allah adakalanya datang dalam bentuk yang tidak pernah kita sangka. Jauh lagi hendak merancang. Atau ada kalahnya ia datang walau sebelum itu kita menentangnya dengan segenap akal yang kita ada. Allah merancang kerana Dia Maha Tahu, sementara kita merancang sekadar apa yang kita fikir dan rasa. Dan perancangan Allah akan selalu menang.

Maka, hanyutlah manuskrip BHS……terumbang ambing. Bertahun-tahun. Ketika Khalila berusia 5 bulan, saya berazam mahu menerbitka sendiri BHS setelah mengubah manuskrip tersebut beberapa kali. Saya berangan hendak melukis sendiri gambar kulit depan novel tersebut. Tapi, lukis 1 gambar, sudah berperang perangan dengan Khalila. Ya, melukis memerlukan masa yang panjang dan fokus. Saya sudah lama tidak melukis. Siap 1 lukisan, saya buat keputusan, tidak guna saya melukis lagi kalau saya terpaksa marah-marahkan anak yang merengek mahu dipeluk. Saya pun tempah satu lukisan dengan seseorang, tetapi sampai sekarang seseorang itu senyap sunyi sepi sehingga saya menghantar email untuk membatalkan tempahan tersebut. Pun senyap sunyi sepi. Betulah perjalanannya.

Dan hari ini, saya menyelongkar lagi manuskrip BHS, saya berhasrat menghantarnya kepada sebuah syarikat penerbitan. Dan saya sedang menyemak semula BHS supaya sesuai dengan kehendak penerbit. Tetapi belum ada jaminan ia akan diterbitkan kerana seperti yang saya katakan awal tadi, manuskrip ini adalah sebuah manuskrip ‘eksperimen’ dari saya, tetapi saya mahu ia kekal dengan bentuknya yang begitu kerana BHS sudah berjalan terlalu jauh. Bukan kerana saya degil tidak mahu mengubah manuskrip saya mengikut kehendak penerbit (atau kehendak pasaran) tetapi setiap kali saya menulis, setiap kali itulah ia memberikan saya pengalaman hidup yang berbeza, sehingga saya rasa kalau ia tidak mahu diterbitkan oleh sesiapa, biarlah ia tinggal di situ, di atas kertas di dalam hati saya….

Beginilah…perjalanan BHS, setelah CESB tidak lagi berdiri untuk menerbitkan novel. Kini, pokok besar di tepi taman yang menjadi ilham saya ketika menulis BHS, telah ditebang. Aci yang menjadi teman saya makan aiskrim itu entah hidup lagi atau sudah ‘pergi’. Sudah berubah semuanya. Dan saya sekarang tidak lagi mampu berkampung bertapa seperti dulu ketika menulis, melainkan diselang seli dengan tangisan anak, dan kerja-kerja rumah yang tidak pernah siap, juga pengajian yang turut tergendala.

Allah, kepadaMulah kuserahkan segenap usaha dan kehidupanku, Perbaikilah hidupku, hatiku, akalku, imanku ke arah jalan yang benar-benar Engkau redhai.

Zaharah Muhammad.