Hara (II)

Tahun 2007, saya hasilkan manuskrip BHS. Siap separuh. Kerana ia novel cinta. Tahun 2009, saya sangat berazam untuk menyiapkan manuskrip BHS. Saya berikhtiar sedaya upaya. Hingga saya namakan tahun 2009 sebagai tahun Ildivo, tahun Frank Sinatra, tahun kitaro, tahun entah apa lagi lagu cinta klasik yang sesuai dengan telinga. Konon, hendak dapatkan ‘roh’ cinta. Pergilah berkubu di KubuKarya (ini memang tempat pertapaan saya). Bangun jam 4 pg, jam 6.45 selak langsir menghadap pintu gelangsar, nampak pokok besar di padang rumput hijau. Sepohon pokok yang sangat rendang. Biasanya jam 9 pagi dan 5 petang, akan ada seorang perempuan India tua akan duduk di bawah pokok besar tersebut. Sesekali dia akan mengejar ayam-ayamnya di padang yang dipenuhi rumput yang subur. Saya menulis dan menulis. Sesekali apabila terasa tulang belakang macam hendak patah, saya pun ke kedai membeli 2 aiskrim, dan saya pun pergi duduk makan aiskrim dengan Aci tua itu. Kami, berhasa itik ayam kerana dia hanya tahu bahasanya sahaja. Lalu kami makan-makan aiskrim sambil senyum-senyum, angguk-angguk. Kadang-kadang kelihatan peluh meleleh di pipinya dan dia tetap tersenyum menampakkan giginya yang merah dan sudah rosak.

Suatu ketika dahulu, ketika di kolej, saya pernah teringa seorang senior yang membebel-bebel tentang makanan halal. Senior dari jabatan fiqh dan usul itu memberitahu, peluh orang bukan islam adalah najis.

Hal inilah yang melambatkan proses menyiapkan manuskrip BHS. Saya mahu jadi matang. Saya mahu jadi terbuka. Islam itu bukan agama eksklusif untuk golongan tertentu sahaja. Sepertimana syurga itu bukanlah eksklusif untuk kita sahaja. Allah, kasih sayangNya, menyeluruh untuk semua makhluk yang Dia cipta.

Apabila saya menamatkan manuskrip BHS, saya telah menghantarnya kepada 3 penerbit yang berbeza. Penerbit pertama, saya email. 3 bulan saya hubungi pihak penerbitan, diberitahu email saya belum dibuka. Saya membatalkan manuskrip saya dan menghantarnya kepada penerbit ke-2. Kali ini saya hantar lengkap dengan salinan bercetak. Selepas 3 bulan, saya menghubungi penerbit, tetapi diberitahu mereka tidak menerima naskah manuskrip saya (mungkin kerana pejabat telah berpindah), saya membatalkan sekali lagi, dan saya hantar ke sebuah penerbitan yang ke-3 (yang saya rasa sangat bagus, kerana kulit depannya yang sangat saya suka). Respons sangat cepat, setuju diterbitkan, tetap perlu diubah latar tempat. Ya, untuk BHS, saya telah ‘bereksperimen’ mereka-reka latar tempat  (kononnya ini kisah melapaui batas geografi, batas kaum sehingga saya mahu pembaca meneka dalam gelap apakah bangsa watak yang ada dalam novel saya). Disebabkan saya telah ‘bereksperimen’, maka saya berpedirian ingin menyimpan manuskrip itu untuk simpanan peribadi. Ya, setiap penerbitan mempunyai ciri khusus yang dikehendaki ke atas sesebuah menuskrip. Saya menghormati dan berlapang dada.

Tiba-tiba, ujian hidup datang bertimpa-timpa. Saya larut dalam peribadi yang menguji. Takdir Allah adakalanya datang dalam bentuk yang tidak pernah kita sangka. Jauh lagi hendak merancang. Atau ada kalahnya ia datang walau sebelum itu kita menentangnya dengan segenap akal yang kita ada. Allah merancang kerana Dia Maha Tahu, sementara kita merancang sekadar apa yang kita fikir dan rasa. Dan perancangan Allah akan selalu menang.

Maka, hanyutlah manuskrip BHS……terumbang ambing. Bertahun-tahun. Ketika Khalila berusia 5 bulan, saya berazam mahu menerbitka sendiri BHS setelah mengubah manuskrip tersebut beberapa kali. Saya berangan hendak melukis sendiri gambar kulit depan novel tersebut. Tapi, lukis 1 gambar, sudah berperang perangan dengan Khalila. Ya, melukis memerlukan masa yang panjang dan fokus. Saya sudah lama tidak melukis. Siap 1 lukisan, saya buat keputusan, tidak guna saya melukis lagi kalau saya terpaksa marah-marahkan anak yang merengek mahu dipeluk. Saya pun tempah satu lukisan dengan seseorang, tetapi sampai sekarang seseorang itu senyap sunyi sepi sehingga saya menghantar email untuk membatalkan tempahan tersebut. Pun senyap sunyi sepi. Betulah perjalanannya.

Dan hari ini, saya menyelongkar lagi manuskrip BHS, saya berhasrat menghantarnya kepada sebuah syarikat penerbitan. Dan saya sedang menyemak semula BHS supaya sesuai dengan kehendak penerbit. Tetapi belum ada jaminan ia akan diterbitkan kerana seperti yang saya katakan awal tadi, manuskrip ini adalah sebuah manuskrip ‘eksperimen’ dari saya, tetapi saya mahu ia kekal dengan bentuknya yang begitu kerana BHS sudah berjalan terlalu jauh. Bukan kerana saya degil tidak mahu mengubah manuskrip saya mengikut kehendak penerbit (atau kehendak pasaran) tetapi setiap kali saya menulis, setiap kali itulah ia memberikan saya pengalaman hidup yang berbeza, sehingga saya rasa kalau ia tidak mahu diterbitkan oleh sesiapa, biarlah ia tinggal di situ, di atas kertas di dalam hati saya….

Beginilah…perjalanan BHS, setelah CESB tidak lagi berdiri untuk menerbitkan novel. Kini, pokok besar di tepi taman yang menjadi ilham saya ketika menulis BHS, telah ditebang. Aci yang menjadi teman saya makan aiskrim itu entah hidup lagi atau sudah ‘pergi’. Sudah berubah semuanya. Dan saya sekarang tidak lagi mampu berkampung bertapa seperti dulu ketika menulis, melainkan diselang seli dengan tangisan anak, dan kerja-kerja rumah yang tidak pernah siap, juga pengajian yang turut tergendala.

Allah, kepadaMulah kuserahkan segenap usaha dan kehidupanku, Perbaikilah hidupku, hatiku, akalku, imanku ke arah jalan yang benar-benar Engkau redhai.

Zaharah Muhammad.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s