Engkau Yang Bernama ‘Angin’

Puisi pada pagi terakhir aku di sini. Untuk engkau yang bernama ‘angin’ dan selalu kupanggil sebagai ‘ilham’.

Kumiliki damai tersembunyi, di lipatan ribuan dukaku
Bersamanya kubina sebuah dunia, sepi mencari makna.

Kulari dari senjaku yang kelabu
Meneguk angin di daerah sunyi dan kelu
Kalaulah ‘angin’ tahu
Sumber ilhamku adalah dari takdir kasihmu
Dan ia pergi bukan kerana aku yang membenci
Tetapi ia yang tidak belajar
untuk mengerti.

Aku jatuh ke bumi
Bak burung yang cedera kaki
Lantas kuseru pertolongan
Rupanya di celah tunggul mati
Terselit bunga harapan yang belum tumbuh lagi.

Kuberdamai dengan malam yang kelam
Menyisir bayu di daerah sunyi dan berbalam
Kalaulah bayangan semalam
Mampu kupadam
Mungkin tidak pernah wujud seni dan ilham
Dan aku perlu bersyukur pada jalan ini
Yang ada kalanya tidak pernah terang
Tidak pernah tenang
Tidak pernah menang.

Duhai ketenangan, betapa indah wajahmu kugambarkan
Meski pada malam pekat, sinarnya penuh dan sempurna
Kusemadikan ke dalam hatiku, rahsia
Susah dan payah ini akhirnya
Akan jadi penghabisan
Untuk sebuah pengharapan.

‘Ilham’,
Pada malam kuseru namamu
Kutenggelam dalam sinar pasrah yang jitu
Bersama bulan kudendangkan syair munajat
Kesakitan terasa bagai berazimat
Di sisinyalah ada segala nikmat
Kiranya dapat kurenung matamu, dan kemudian terus berbahasa
Biru dan hitam
Tenggelam dalam bisu dan hujan
Api ilhamku mungkin takkan padam
Meski pada ketika malam berhujah dengan kejam.

Kembali kumenunggu fajar
Meski malam dan ‘ilham’ enggan berpisah
Fitrah dan takdir justeru seiringan
Tak ingin kumungkiri dengan harapan
Kerana ia tetap muncul jua
Andaikata semalam boleh kupadam
Mungkin tidak wujud seni dan ilham.

Pagi ini datang juga,
Pada saat aku tiba pada masanya
Berangkat meninggalkan ‘angin’ dan sepi
Menutup jendela dari dunia kecil
Sementara pagi mewarnakan langitnya
dan waktu meniupkan serulingnya
dan takdir menuliskan catatannya
dan kasih sayang terus menuntut pengorbanannya.

Pagi ini datang juga
Dan ‘angin’ harus mengerti bahawa
warkahku kepadanya semalam
Yang dibacanya penuh sangsi dan waham
Sebenarnya adalah benar
Penuh kebenaran meski ada padanya keraguan
Kerana yang paling benar, terlipat bersama perasaan
Di sini dan pada lapisan yang paling dalam
Ada kucatatkan namanya sebagai ‘ilham’
Tidak pernah padam.

Demi kehidupan, tidak pernah ada padanya kepastian
Selain kematian
Dan andai ‘angin’ sedang mengikat janjinya di sana
Cuba memadamkan segala macam kenangan
Yang pernah dibawanya ke sini
Tidak ada kepastian, segalanya adalah sesuatu
Yang pada sekalinya pernah membohongi
Tetapi yang benar tetap ada tersimpan di sini
Di lipatan yang paling dalam, di dalam hati.

Duhai,
Tetap perlu kuberangkat
Menyongsong mentari
Meninggalkan semalam yang telah pergi
Pada jalanan masa depan yang tidak pasti
Dan aku percaya, sekiranya ada
Segala kepedihan ini hanyalah sekadar
Suatu kenangan pahit.

Demi,
Telah kubina dunia kecilku
Dan kuruntuhkannya pula
Tidak pernah kuserik untuk membina semula
Kerana kuulangi di sini,
Segala apa yang pernah kulukiskan ke dalam hatimu, ‘angin’
Walau telah kau singkirkan, pada pagi yang mendung semalam
Berkali-kali ingin kuulangi lagi;

‘lham’,
Aku menyerumu datang
Tanpa persefahaman, aku dengan keteguhan ucapanku
Dan engkau dengan andaian wahammu
Lalu engkau pergi mengulang sejarahmu sendiri
Namun perlu kau ingat ini, pergimu bukan kerana kubenci
Hanya mungkin benar engkaulah yang tidak belajar untuk memahami
Atau aku yang tidak ditakdirkan untuk tahu menghargai!

Dan,
Pada senja
Pada malam
Pada pagi
Pada setiap kali pengucapanku menafikan
Kebenaran tetap terserlah dari batinku
Aku tetap menanti engkau kembali
Kerana seperti yang pernah kuulangi keseribu kali ini
Andai kupadamkan masa laluku
Dan melupakan engkau, ‘angin’
Tiadalah seni dan ilham
Dapat bersatu di celah-celah jemariku.

Dan aku akan berangkat, mengendongmu ke dalam bebanan hatiku
Telah kuakrabkan engkau, bagai air mata
Tiada kembalinya setelah ia menitis
Di situlah semadinya, di sinilah makamnya
Namamu….
Kerana aku dan ‘ilham’
Adalah sebuah takdir Tuhan!

Bersama atau berpisah, penyatuannya tetap ada
Kerana kematian itu ada
Kerana syurga itu ada….!!!

*****Untuk adindaku Aisyah, jangan kau gadaikan agamamu untuk nikmat dunia yang sebentar. Ketahuilah, pengucapan cinta itu mudah, sedangkan hakikat kehidupan itu teramatlah payah. Pengucapan yang penuh manis itulah yang kadangkali banyak membunuh jiwa manusia!****

10 comments

  1. kenapa dekat perkataan ilham dan angin tu ada tanda ‘ ‘ … adakah ‘angin’ dan ‘ilham’ tu merujuk kepada ‘benda’ yang sama ?

  2. OD,
    Saya menulisnya dgn segala rasa rindu!

    mr Lakemba,
    Ya, ILHAM dan ANGIN adalah 2 istilah yang merujuk kepada subjek yg sama. Sila rujuk kembali tajuknya. “Puisi pada pagi terakhir aku di sini. UNTUK ENGKAU YG BERNAMA ‘ANGIN’ DAN SELALU KUPANGGIL ‘ILHAM’.”

    Bayan,
    Milik DIA semuanya🙂

    Affuan,
    Panjang? Memang sengaja dipanjangkan.

    Nai,
    Yang indah2 itu, milik DIAlah semuanya.

  3. memang amat panjang sekali puisinya .. mana dapat ‘ilham’ nak tulis puisi ni ? adakah ‘ilham’ yang datang tu disampaikan oleh ‘angin’?

    ni kalau bagi kat A samad said pun belum tentu dia faham .. boleh jelaskan sikit maksud puisi ni ?

    pagi terakhir di mana tu ye ?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s