Faisal Tehrani: Aku _________, Maka Aku Ada!

Kembali bersemangat membaca novel.

Nama Faisal Tehrani (FT) tidak asing lagi dalam dunia penulisan. Siapa yang suka baca buku, dan tak pernah dengar nama FT, yang tu memang makhluk asing. Huhu. Rasa pelik juga nak mengulas tentang buku FT ni. Sebab rasanya taklah layak nak mengulas karya PENULIS BESAR seperti FT. Saya ni, setakat baca bolehlah. Kalau nak ulas memang terpulas-pulas je rasanya. Tapi, entahlah. Kali ni rasa nak tulis panjang-panjang.

Di Kolej Za’aba UM saya mula mengenal karya FT. Kalau tak silap, ketika saya masuk Pusat Asasi Sains, FT sudah berada di tahun akhir pengajian sarjana muda syariahnya di API. Waktu itu, saya memang suka baca cerpen. Belek saja majalah kalau jumpa cerpen FT, mesti habis majalah tu kena gunting. Ketika siswi-siswa dok minat pengerusi JTK la, presiden PIUM lah, presiden PMUM lah, presiden itu presiden ini, saya pula minat FT. Hahaha. Ini tak kelakar. Okay, itu momen mula-mula saya berkenalan dengan karya FT.

Selepas ‘tak sengaka’ menulis (saya rasa saya bukanlah menulis novel, sebaliknya ‘mengarut’ saja) novel pertama pada tahun 2004 dengan Creative Enterprise (CESB), saya terkinja-kinja selepas jumpa novel Cinta Hari-hari Rusuhan di galeri CESB. Dari situlah saya mula mengumpul novel-novel FT. Maaf Dari Syorga, Rahsia Ummi, Perempuan Politikus Melayu dll (banyak sangat nak sebut). Maklumlah, masa belajar takdak duit, kalau guna duit beli novel rasa macam tak amanah pulak. Bila Allah bagi rezeki lebih, saya pun kumpul koleksi novel FT.

Dari zaman awal membaca novel FT sampailah FT bersama Dubook, saya boleh rasa turun naik gelombang emosi, pengalaman dan pemikiran FT. Awal tadi saya ada sebut FT sebagai PENULIS BESAR bukanlah kerana beliau sudah banyak merangkul anugerah itu anugerah ini. Saya bukanlah orang sastera untuk mengulas macam professor dalam bidang kritikan sastera. Ini hanya pandangan seorang pembaca yang telah menikmati karya FT hampir 15 tahun. Label PENULIS BESAR ini saya berikan kerana;

  1. FT boleh menulis novel sedih, novel romantik, novel tragedi, novel serius, novel warak (islamik?), novel kelakar dan pendek kata semua beliau telah tulis. Novel lucah pun ada. Hahaha. (Ada orang kata novel Bagaimana Anyss Naik Ke Langit sebagai novel lucah. Saya tak tahulah mana yang lucah tu. Sebab setahu saya maksud novel lucah ialah bila novel tu dibaca, orang yang membacanya akan tiba-tiba rasa nak ‘mengawan’. Haha. Saya malu nak sebut benda ni. Tapi itulah, saya memang sangat hairan bila ada yang kata ia lucah, sedangkan bila saya baca, apa yang saya rasa ialah, nak ambil pistol dan tembak muka pembalak-pembalak yang merogol dan membunuh gadis Penan. Ya, kalaulah saya ada pistol).
  2. FT adalah penulis yang paling banyak dilabel. Kalau ada anugerah penulis paling banyak dapat label di Malaysia, maka ia patut diberi kepada FT. Di belakang kulit Aku _______ , Maka Aku Ada! ada tertera

Ah! Kau kata…

Aku Liberal,

Aku Syiah,

Aku Anti Melayu,

Aku Kafir,

Aku Sesat.

Ha. Kan? Berderet-deret label yang FT dapat. Ke ada yg nak tambah lagi?

  1. Bermula dengan puji-pujian dari peringkat sekolah ke peringkat nasional, malah PM pun dah pegang Novel FT semasa pelancaran, dan setelah berbakul-bakul menerima anugerah, FT menerima kecaman dan kritikan (baca: kutukan) juga tak terkira hebatnya, namun FT tetap menulis. Kalau saya berada di tempat beliau, mungkin saya sudah membawa diri ke planet lain kerana makan hati, kecewa dan putus asa. Inilah yang kita panggil penulis BERJIWA BESAR. Dia tidak menulis hanya ketika dipuji. Ketika dikeji pun, dia bangkit dan tetap menulis.

Tapi dalam banyak-banyak yang saya tulis di atas, perkara yang paling saya suka dengan FT ialah, beliau sangat kelakar. Saya baca buku Advancer Si Peniup Ney dan Bila Tuhan Berbicara, saya gelak tergolek-golek. Lantaklah. Kan memang orang Melayu suka baca novel (atau tengok drama atau filem) yang kelakar dan menghiburkan. Sehinggakan bila baca novel Tunggu Teduh dulu, saya rasa macam tak puas hati sebab tak kelakar (walaupun novel TT sangat romantis dan sangat berguna untuk orang yang bercita-cita nak menceburkan diri dalam dunia pertanian moden hehe).

Dan ketika zaman blog masih popular, memang blog FT jadi macam surat khabar bagi saya. Kalau bangun pagi tak ada posting baru, memang rasa bosan tak tahu nak cakap. Agaknya itulah punca pakcik-pakcik ketagih duduk sembang kedai kopi. Ulasan-ulasan FT dalam blog beliau terutamanya dalam bab politik, memang buat saya ketagih. Kadang-kadang, bila orang lain marah dengan apa yang FT tulis, saya pulak rasa ianya sangat kelakar. Ya. Anda berilah dia label apa sekali pun, tak ada siapa yang boleh menghentikan perasaan saya ini, kerana beliau memang pandai menulis sesuatu yang berbentuk menghiburkan (baca: bermanfaat).  Selepas blog beliau ditutup, saya pernah menghatar mesej di facebook bertanya kenapalah blog beliau dihentikan. Memang ‘kuciwa’ tak tahu nak cakap. Rupanya, ada ‘tangan ghaib’ yang menutup blog tersebut. Bukan tuannya. Mak aih. Memang bosan tahap dewa rasanya sepanjang blog FT sudah tidak berfungsi. Tapi masa tu tak tahu nak marah kat siapa.

Dan sehinggalah munculnya buku Aku ________, Maka Aku Ada. Terbitan Dubook. Haa, inilah tujuan entri ini ditulis (mak aih panjangnya intro). Baca buku ni, lebih kurang sama macam baca blog FT yang dulu-dulu. Sebab dalam buku ni ada artikel, ada esei dan ada luahan perasaan FT. Cakap saja nak isu apa, semua ada. Tapi, tentunya isu-isu tersebut ditulis dari perspektif yang berbeza dari khalayak arus perdana. Isu MH370. Isu pendidikan. Isu penggunakan kalimah Allah. Isu pihak JAIS yang mengganggu majlis perkahwinan seorang perempuan hindu tanpa membuat penyiasatan terperinci terlebih dahulu. Isu boikot McDonald. Isu berkabung dan bertafakur untuk menghormati jenazah. Isu menyentuh anjing. Dan banyak lagi isu-isu semasa yang menjadi bualan, perbincangan, perdebatan dan perbalahan masyarakat 1Malaysia. Ya. Bagi saya buku ini sangat bersifat 1Malaysia. Tak ada lagi buku yang saya rasa lebih 1Malaysia berbanding buku FT yang ini. Apa yang pasti, isu-isu tersebut diulas dari perspektif yang sangat berbeza daripada apa yang difikirkan oleh kebanyakan orang.

Melalui buku ini, saya sangat percaya ia ditulis oleh seorang pensyarah yang menekuni bidang hak asasi manusia. Dan percayalah, sesiapa yang takut kepada FT kerana Syiah, bacalah buku ini. Kalau ada yang kata buku ni ada unsur syiah, memang patut kena pelempang. Tapi itulah, walaupun dari dulu FT suka tulis dalam blog bahawa beliau suka nasi lemak sambal sotong, tetap juga orang nak hamburkan kata-kata bahawa dia syiah. Memang aneh betul orang yang suka melabel ni.

Dan tentunya artikel yang paling saya suka (paling mencerminkan seorang Faisal Tehrani) ialah AKU LIBERALIS.

(Hak asasi manusia melindungi ‘orang yang beragama’, dan bukannya agama. Justeru tidak timbul sama sekali dakwaan bahawa liberalisme datang untuk menyamaratakan semua agama. Sekali lagi, yang dilidungi orang, yang diseratakan orang, yang diberi hak penuh adalah orang. Hak asasi manusia bahkan merai perbezaan dan kelainan yang ada pada setiap manusia dan menuntut supaya hak asas iaitu hak untuk berbeza dan percaya kepada agama masing-masing ini dipertahankan dan dilindungi). (Aku _______, Maka Aku Ada!: 175)

Bagi saya, artikel yang menutup buku ini sangat bertepatan (bergaya) dengan isu yang menghujani FT sendiri sebagai seorang penulis. Saya sedar, penulis di Malaysia ini berkelompok. Masing-masing berjuang mengangkat kelompok masing-masing, dan memperjuangkan bakat yang berbeza-beza. Ada penulis menunjukkan bakat dengan menulis novel tentang nikah kawin cinta cerai. Ada penulis menunjukkan bakat dengan menulis novel menggunakan bahasa puitis sehingga pembaca tak mampu nak faham walaupun diulang baca 100 kali demi puitisnya bahasa yang digunakan. Dan ada juga penulis yang main hentam tulis saja janji orang suka baca dan gembira.  Jadi, saya tidak fikir kenapa PENULIS BESAR seperti Dr. Mohd Faizal Musa ini perlu dicerca dan dilemparkan kata-kata yang tidak baik, hanya kerana dia berbeza daripada kebanyakan orang. Hanya kerana beliau menulis dari perspektif yang berbeza dari kebanyakan orang. Dan tentunya, FT menulis semua yang berbeza ini, bukan hanya dengan termenung di hadapan komputer dan berangan sampai meleleh-leleh air liur atau sambil mendengar lagu jiwang untuk menjiwai watak. Paling kurang dia mengulas bukan hanya bersandar kepada siku dan lutut yang tersorok di dalam jubah. Beliau membaca dan mengkaji. Bukan hanya berangan dan meninggu ilham dari mimpi.

Sebenarnya, saya sudahkan membaca buku ini sejurus pesta buku tamat. Tetapi baru hari ini saya ingin menulis tentangnya. Walaupun saya tak reti mengulas macam seorang pengkritik sastera yang pakar, saya rasa saya mahu menulisnya. Jangan nanti selepas FT dah tak ada baru saya terhegeh-hegeh hendak tulis yang baik-baik tentang beliau. Saya dah menikmati pelbagai jenis karyanya. Jadi, saya kira adalah suatu yang wajar apabila FT akhir-akhir ini sangat ‘melekat’ dengan Dubook yang ‘Angkuh dan Liar’ itu. Prinsip yang lembut dan manis tidak mampu memberikan laluan kepada PENULIS BESAR seperti ini berkongsi fikiran mereka dengan pembaca. Penerbit biasanya lebih gemar kepada karya yang lunak dan mengulit mimpi. Bukan karya yang bila dibaca, terasa seperti ada orang sedang menampar pipi kita.

Dan, AWAS! Jangan terpedaya dengan kulit muka depan buku ini. Gambar FT bersama almarhum TGNA hanyalah satu perangkap yang Dubook gunakan untuk memerangkap golongan peminat-peminat TGNA. Hahaha. Serius. Tak ada kena mengena pun isi dalam dengan kulit depannya. Tetapi, saya suka. Gambar berdua itu sangat ‘ngam’ dengan tajuk buku. Selain itu tak ada kena mengena.

Oleh itu bacalah. Saya, walaupun berkongsi tarikh lahir (hari dan bulan) dengan FT, percayalah, jika saya mati dan hidup sebanyak 10 kali, saya masih tak akan mampu menulis seperti apa yang beliau telah tulis di dalam sebuah buku. Saya kira tidak ada hiburan yang lebih menarik dan mengembirakan hati sebagai rakyat Malaysia selain daripada karya FT.

Jadi, jangan takut. Bacalah. Sebelum anda menyesal kerana tidak membaca.

*Tahun ni tebalkan muka jumpa FT dan minta tandatangan. Dah lama berangan, tapi bila nampak dari jauh, terus cabut lari. Kali ni mujur ada Si Kecil saya.

Hujan.

Hujan. Musim paling manis untuk berkarya. Ketika hujan pagi. Bau memori kadangkala harum kadangkala pahit menghimpit. Selebihnya, hidup ini hanyalah singkat. Semua akan berlalu dengan pantas.

Hujan. Musim paling manis untuk bermimpi. Ketika hujan pagi. Kita pun larut. Dalam hati yang pernah. Bertemu tanpa bercinta.

Kembali

Mohd Ali Md Salim.

Jiwamu membelah awan biru. Segala budi usahamu menabur di medan ilmu. Pecah. Bisu. Berderai bunga-bunga doa. Turun ke bumi. Bak payung biru dari syurga. Kau – semadi dalam hati kami. Tak tercapai tangan mengusap. Tetapi hati dekat. Doa mengerat. Aku. Kau. Kita. Dan DIA yang menyayangimu. Membicarakan nasib kita dalam bahasa rahsia. Siapa tahu. Kita pernah berdoa. Pernah bercinta denganNYA. 

Kutabur bunga biru dalam doa. Untukmu. Mohd Ali Md Salim. MH17. 

 

Kampung Warisan

Ketika kita berpuisi untuk kekasih

ada mata yang airnya tak kering mengalir

ada penguasa zalim kekenyangan bergelimpangan

ada pemimpin tangan hitam bergelak ketawa di celah riba wanita simpanan

kita pun mengusung mimpi

berpuisi lagi

 

Usah kita berpeluk dengan bayang kekasih lama

yang sudah renyuk wajahnya dimamah masa marilah kita hayun tangan

menjerit laungkan pembebasan

kalaupun kita disembur api

demi maruah dan sejarah   kampung warisan

tempat keringat dan air mata

datuk nenek kita tumpah.

Ketika Cinta Tidak Lagi….

Ketika cinta tidak lagi dibicarakan
Oleh bibir yang arif
cinta akhirnya menjadi jualan di tepi jalan
tertulis di dalam naskah murahan

Ketika cinta tidak lagi dibicarakan
oleh bibir yang arif
semakin ramai jiwa terbunuh
semakin darah mengalir laju
semakin nanar semakin kacau bilau
dan gelisah pun membelah.

Zaharah Muhammad

Hujan

Image

Hujan. Malam ini hujan. Seminggu dua ini memang hampir setiap hari, hujan. Alhamdulillah. Terima kasih kepada yang mengirimkan doa kepada saya. Alhamdulillah. Semangat untuk ‘menyunting’ manuskrip yang bertahun terbengkalai berjalan dengan lancar. Seperti hujan. Sejuk. Nyaman. Indah.

Allah, meski ini adalah novel yang kuistilahkan sebagai novel cinta, berikanlah aku petunjuk agar ia tidak jadi sebagai sebahagiaan bait-bait kayu yang akan terbakar di dalam neraka. Jadikan cinta yang memenuhi hati kami sebgai cinta yang Engkau redhai. Cinta untuk para ibu yang kami cintai, para ayah yang kami kasihi, para sahabat yang kami rindui. Semoga cinta yang membara ini tidak membakar, sebaliknya memeluk kami dengan rahmat dan pertolongan-Mu.

Terima kasih kerana mendoakan saya.

Zaharah Muhammad.