Kalaulah gelisah membelah
tenteram dadamu
teguh-teguhkanlah
langkah perkasamu
membenamkan duka
di jalan terbuka.
Kalaulah sepi meningkah
hayat kudratmu
cekal-cekalkanlah
lelah relamu
melemparkan risau
di angin pulau.
Kalaulah hampa mencecah
pintu sentosamu
tenang-tenangkanlah
gementar hatimu
bagai musafir
mengucup takdir.
(Dharmawijaya: Pada Waktu-waktunya)
Kematian hanyalah bagai dinding pemisah antara dunia fana dan alam yang kekal. Tetapi, bagi yang hidup, setiap kali menerima berita kematian, terutamanya di kalangan orang-orang yang kita sayang, justeru air mata akan mengalir. Hanya air mata yang mampu menggantikan kata-kata bahawa perasaan di dalam hati sedang membicarakan rindu, kesedihan dan kasih sayang.
Bagi yang mengikuti kesemua novel saya, pasti anda perasan bahawa dalam setiap novel itu saya akan muatkan kisah tentang kematian. Sebenarnya, saya bukan ingin mengada-adakan kisah tentang kematian itu supaya novel saya kelihatan ‘jiwang’, tetapi kerana saya sedang mengingatkan diri saya ketika menulis. Antara lima novel saya yang telah diterbitkan, Mencari KEKASIH adalah novel yang memuatkan kematian sebagai tema utama. Sebenarnya, pada ketika itu, saya rasa begitu terbeban apabila mengingati dosa sendiri, maka saya ingin meluahkan kebimbangan itu, dengan mengingatkan diri saya, supaya berhati-hati dengan dosa kerana kita tidak tahu bila kita akan dipanggil pulang. Beruntunglah bagi orang-orang yang dianugerahkan dengan penyakit yang membawa isyarat bahawa mereka tidak lama lagi akan meninggalkan dunia ini. Bagaimana kalau kematian itu tiba-tiba datang, tanpa isyarat? Saya tidak dapat bayangkan hal itu bagi diri sendiri kerana kehinaan yang ada dalam diri saya pasti tidak akan mampu menyelamatkan saya ketika berhadapan dengan-Nya.
Apa yang ingin saya ceritakan di sini, bukan tentang novel saya. Tetapi tentang kematian. Kematian sebenar bukanlah seperti yang mampu saya gambarkan di dalam novel-novel saya. Betapa saya membentuk watak-watak yang amat tabah menghadapi setiap kematian di dalam novel-novel saya, tetapi hakikat yang sebenarnya, kehidupan ini tidaklah semudah seperti apa yang mampu digambarkan di dalam sebuah novel. Ramai pembaca yang mengatakan saya mampu membentuk watak CIK AB di dalam Mencari KEKASIH dengan begitu baik. Seorang perempuan yang sedang mencari dirinya, dan kemudian tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan saat-saat kematiannya akibat kanser perut. Bagi pembaca yang berkenan dengan novel tersebut menganggap saya berjaya menghasilkan novel yang mampu menyentuh perasaan.
Namun, apabila saya mendapat berita kakak saya disahkan menghidap barah hati, saya jadi hilang punca. Saya sendiri seakan-akan melupakan apa yang pernah saya tulis di dalam novel Mencari KEKASIH. Kerana ketika itu, saya bagaikan tidak mahu percaya hal itu sedang menimpa orang yang saya sayang. Sehinggalah kakak sulung, kakak yang paling rapat dengan saya pergi, saya langsung terlupa tentang novel yang pernah saya hasilkan dulu. Ketika saya dalam proses menulis Mencari KEKASIH, saya mengkhatamkan berpuluh-puluh buku yang membincangkan tentang kematian sampaikan air hidung saya meleleh-leleh ke atas keyboard, terutamanya apabila saya mengingati inti yang terkandung di dalam buku-buku tazkirah Tok Guru Nik Aziz yang berkisar tentang hari akhirat. Sampaikan teman serumah secara diam-diam menganggap saya sedang menghadapi masalah peribadi yang besar sampai menangis hingga meleleh air hidung di hadapan komputer pukul dua tiga pagi. Tetapi itulah kenyataannya. Mengingatkan hari mati dan hari akhir kita, memang sesuatu yang menakutkan terutamanya bagi orang-orang yang banyak dosa dan hati berkarat seperti saya.
Mungkin ada yang anggap saya seperti ‘syok’ menyiksa watak-watak di dalam novel saya apabila saya mematikan kebanyakan watak utamanya ataupun watak-watak yang penting di dalamnya. Mungkin betul juga. Mungkin saya tak terfikir perasaan watak-watak di dalam novel saya apabila saya ‘mematikan’ watak yang mereka sayang. Waktu itu saya hanya ingin mengajar diri sendiri, bahawa hidup ini sentiasa hampir kepada kematian. Kenyataannya, rupa kematian itu, sama ada bagi yang telah pergi, atau yang masih tinggal untuk merindui, ia adalah sesuatu yang amat mengharukan, lebih daripada apa yang mampu dijelaskan di dalam sebuah novel. Ia jauh lebih daripada itu!
Nah, apabila saya sendiri berhadapan dengan keadaan sebegitu, perasaan saya jadi begitu lemah. Walaupun saya tidak menangis di hadapan orang, tetapi hakikatnya, setelah tiga jumaat berlalu, saya masih gagal menghentikan air mata saya setiap kali teringatkan arwah. Saya bukan sedih kerana kakak kesayangan saya telah pergi meninggalkan saya. Tidak. Saya bukan sedih kerana itu. Saya sedih kerana sepanjang hidup arwah, tidak banyak yang kebaikan yang saya berikan kepada arwah walaupun arwah teramat baik kepada saya. Selebihnya, saya menangis kerana, setiap kali saya ingin menyuapkan makanan ke mulut, saya teringatkan arwah. Semoga Allah menyediakan makanan yang jauh lebih baik kepadanya berbanding dengan makanan-makanan yang ada di dunia. Setiap kali saya melihat beberung merentasi langit yang mendung, air mata akan mengalir dengan tiba-tiba. Kerana saya memikirkan, apa yang indah yang saya nampak di dunia ini, hanyalah sekejap saja. Kalau sekiranya saya tidak menikmati dan mempergunakan keindahan yang ada di dunia ini sementara hidup, saya tidak akan mampu melakukannya lagi setelah mati. Mengingatkan begitu, segala kesakitan, kekecewaan, kemarahan, semuanya jadi hilang dan saya mula jadi manusia tanpa perasaan.
Dulu, saya adalah seorang yang cepat marah. Contohnya, setiap kali berhadapan dengan manusia-manusia yang kurang ajar, atau manusia-manusia yang tidak senonoh, hati saya mudah rasa terbakar. Tetapi sekarang, api itu bagaikan sudah tidak mahu menyala lagi. Kerana saya lebih banyak memikirkan dan melihat keburukan, kekejian dan kehinaan diri sendiri, sehingga saya tidak lagi berupaya memandang dan memerhati orang yang berada di sekeliling saya. saya seolah-olah sudah tidak nampak manusia-manusia yang berada di sekeliling saya. Yang ternampak hanyalah hati saya yang hina ini dan segala ciptaan Allah yang hebat-hebat. Betapa hina dan kejinya saya di antara semua ciptaan-ciptaan-Nya. Ya, saya rasakan kematian saya bagaikan semakin dekat. Sedangkan saya tidak memiliki apa-apa bekalan kebaikan untuk saya bawa menemani saya di alam barzakh yang tentunya nanti saya akan bersendirian.
Dulu, saya pernah mengaku kepada sahabat baik saya, saya tidak pernah berdoa agar umur saya panjang. Saya bukan riak, saya bukan berputus asa, saya berkata begitu pada ketika itu kerana saya rasa dosa saya terlalu banyak, semakin bertambah-tambah dengan teruk setiap hari. Berdasarkan prestasi hidup saya selama ini, saya rasakan dosa saya semakin hari semakin bertimbun sedangkan tidak ada satu pun kebaikan yang saya lakukan. Tidak tahu ke mana lagi mahu saya sorokkan dosa-dosa itu. Semakin hari semakin menggunung. Saya takut jika umur panjang, saya akan jadi sekeji-keji manusia dan saya tidak mahu sampai ke tahap Allah tidak sudi lagi memandang saya. Itulah yang saya fikirkan dulu. Rekod peribadi saya memang amat menjijikkan.
Namun, semenjak arwah kakak saya pergi, saya dapat ingat dengan jelas bagaimana arwah berjuang untuk terus hidup walaupun di saat-saat arwah hanya mampu terlantar di atas tilam. Arwah bersangka baik dengan kehidupan. Katanya, kehidupanlah yang memberikan kita kesempatan untuk melakukan kebaikan kerana Allah. Kehidupan telah memberikan kita peluang untuk mencintai Dia, dan melakukan apa yang Dia suka. Kerana itulah, arwah masih solat sehingga ke saat nafas terakhirnya walaupun sudah tidak mampu bergerak. Mengenangkan itu, saya tertunduk menangis. Insaf!
Saya insaf. Bertaubat di atas doa-doa yang saya lafazkan dalam keadaan jahil. Saya mula menyedari hakikatnya. Walaupun kita sentiasa berdosa, tidak lepas daripada dosa, tetapi dunia adalah suatu tempat yang cukup indah kerana di sinilah kita diuji, dan walau betapa beratnya ujian itu, di sinilah kita belajar untuk mencintai Dia. Lalu, saya mulai yakin untuk berdoa, Ya Allah, panjangkanlah usiaku yang dalam waktu-waktu itu aku mencintai-Mu dengan sepenuh hatiku, dan reda kepada-Mu agar Engkau mencintai dan reda kepadaku, menyambut aku pulang ke pangkuan-Mu dengan pelukan kasih dan rahmat-Mu!
Sehingga itu, barulah saya sedar kenapa ramai yang menganggap novel Mencari KEKASIH amat sedih. Kerana sekarang, sebagai penulisnya, saya sendiri baru sedar, membuka semua novel itu selepas pemergian arwah kakak saya, saya tidak mampu untuk meneruskan bacaan saya. Kerana hati saya benar-benar berasa sayu, rindu dan kesal yang bercampur dan meresap dengan begitu pedih dan menyentuh. Semoga Allah mengampuni saya, dan menempatkan arwah kakak saya di sisi hamba-hambaNya yang Dia kasihi. Semoga kepulangan arwah disambut oleh-Nya dengan penuh kasih sayang dan pengampunan!
Kekandaku,
Engkau telah pergi jauh
Mengembara ke tempat baru
Meninggalkan aku.
Kekandaku,
Engkau tidak pernah mati
Engkau sekadar berhenti
Melepasi dinding kehidupan
Untuk bertemu Dia
Sang Pencipta yang amat
kau takuti dan rindui.
Kekanda,
Aku memangis bukan kerana tidak reda
Tetapi kerana aku cinta
Dan sedang belajar atas nama cinta
Bahawa dunia ini hanya sementara
Dan rebutlah pahala
Sementara nafas masih ada.
Kekanda,
Kebaikan dan kemuliaan hatimu
Kujadikan baja yang menyirami doa-doaku
Untukmu
Untukku
Untuk keluarga kita
Untuk saudara-saudara Islam kita
Agar kami berakhlak
Dengan akhlak hamba-hamba yang mencintai syurga!
Kekanda,
Tidak akan kulupan dirimu
Dalam doa-doaku
Kebaikan yang kau berikan kepadaku, kekanda
Sedang mengalir di dalam darahku
Segar, merah, dan tepu!
Kekanda,
Walaupun tidak pernah kulafazkan cinta
Bukan kerana aku tidak cinta
Tetapi kerana aku tidak mahu menodai cinta
Dengan menggungkapnya melalui bibirku yang penuh dosa.
Kekanda,
Aku mencintaimu
Dan kulafazkan cinta
Didalam setiap doa-doaku
Dan setiap titis air mataku
Sehingga nafasku terhenti.
Kekanda,
Semoga engkau sedang damai
Dalam dakapan rahmat kasihNya
Yang Maha Penyayang!
(Zaitun Muhammad: 1968-2009)
Khamis, 8 Oktober 2009, kakak sulung saya yang berusia 41 tahun (1968-2009) telah kembali kepada Sang Pencipta. Mengikut surat kematian, waktu yang didaftarkan ialah 6.35 petang, tetapi mengikut ayah saya yang berada di sisi, arwah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.22pm.

Sebaik saja mendapat berita thesis saya lulus, saya juga mendapat berita kakak sulung saya yang berusia 41 tahun disahkan mengidap kanser hati pada 22 Jun lepas. Namun, doktor masih tidak dapat memastikan kedudukan sebenar sehinggalah khamis lepas, 2 Julai, doktor mengesahkan kakak saya mengidap kanser hati (peringkat akhir).
Sekiranya diberi pilihan antara menonton atau membaca, saya lebih selesa memilih membaca. Mata saya cepat letih apabila menonton tv. Tengok-tengok, tv yang tonton saya. Namun, tahap kegagalan saya ketika menonton adalah bergantung kepada jalan cerita. Hanya cerita-cerita tertentu sahaja yang boleh membantu mata saya bertahan ketika menonton.
Namun, kehidupan pada zaman perang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui. Kekacauan, peperangan dan kekurangan banyak mencetuskan sikap mementingkan diri sendiri. Itulah yang digambarkan oleh dalam filem ini. Untuk menanggung dua orang anak saudara dalam keadaan perang begitu, bukanlah perkara yang mudah bagi ibu saudara Seito. Masalah catuan makanan, Setsuko yang sering menangis pada waktu malam (ini adalah perkara biasa bagi anak-anak yang kehilangan ibu) telah menyebabkan ibu saudara mereka menganggap Seito dan Setsuko sebagai bebanan dan keadaan ini telah menyebabkan Seito membuat keputusan untuk meninggalkan rumah ibu saudara mereka dan cuba hidup sendirian dengan tinggal di sebuah gua di tepi tasik yang sebelum itu sering menjadi tempat Seito membawa Setsuko berlindung setiap kali siren amaran serangan kedengaran. Seito mempunyai dua alasan iaitu berasa letih untuk sentiasa lari mencari tempat berlindung setiap kali siren berbunyi selain rasa egonya terhadap sikap ibu saudaranya yang melayan mereka berdua sebagai bebanan. Sebagai remaja lelaki, Seito pada usia begitu mula peka dengan tanggungjawabnya sebagai lelaki. Dan, kerana ego tersebut, walaupun mereka tidak mempunyai makanan, Seito berusaha sendiri dan tidak mahu kembali ke rumah ibu saudaranya.

Orang Melayu tak suka dikritik. Sesiapa yang mengkritik, dianggap ‘buruk perangai’. Tak dinafikan, ada segelintir pengkritik yang tidak menggunakan bahasa yang berpatutan untuk mengkritik, seolah-olah mereka adalah manusia ‘lengkap’ dan ’sempurna’.
Semalam saya terima sms daripada kawan saya.