Apabila usia sudah memasuki 30-an, terasalah betapa pentingnya kesihatan. Semoga Allah permudahkan semua yang baik-baik. Mansukirp terbengkalai….bahan-bahan pengajian juga terbengkalai. Makan dan tidur saja yang tidak terbengkalai. Alahai….aktiviti menternak badan tidak pernah ketinggalan.
Alhamdulillah, hikmah selepas permergian arwah kakak sulung disebabkan kanser oktober 2009 telah banyak membantu saya mengubah diet seharian. Elakkan makanan bergoreng, minumumkan penggunaan plastik dan banyak makan sayur-sayuran yang berkhasiat. Masa cepat saja berlalu. Antara jun 2009 sehingga april 2010 saya hidup dalam kemurungan akibat kehilangan arwah kakak yang selama ini telah banyak memberikan saya semangat dan sokongan dalam berkarya dan juga pengajian. Alhamdulillah, semuanya telah nampak hikmah di sebalik ujian tersebut. Sesungguhnya Allah Maha Menguji hamba2 yang dikehendakinya. Dia yang akan memilih. Namun, sebagai manusia yang mempunyai mazmumah yang menggunung di dalam dada, kesedihan dan kekesalan itu tidak dapat ditahan tatkala berhadapan dengan ujian walaupun akal telah berpesan kepada hati, “Ujian ini hanya untuk sementara.”
Hati itu, sesungguhnya, sentiasa degil andai tidak kita siram dengan kesyukuran dan rasa redha. Kematian itu telah mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan. Hari semakin cepat berlalu, baki hidup pun semakin cepat menyusut. Pantas. Namun, terlalu banyak perkara yang belum disempurnakan.
Doa tahun 2009 dan 2010 masih tertangguh. Akan diteruskan. Semoga teman2 pendamping saya yang tidak mempunyai agama, yang beragama selain Islam, yang masih belum menerima cahaya kebenaran Islam akan dipermudahkan jalan ke arah cahaya. Semoga saya juga sentiasa diberikan belas kasihan oleh Allah pada setiap kekurangan dan kedhaifan jiwa saya, serta pengampunan pada ketika saya berbuat salah.
2011 makin menghampiri pertengahannya….semoga ilham untuk berkarya datang dengan tersusun, dan kekuatan untuk menyudahkan pengajian diperkukuhkan.
Terima kasih, ya Allah. Atas segala kebaikan-Mu dan rahmat-Mu yang jarang kusyukuri.
