Hotaru No Haka
Posted by Zaharah on June 9, 2009
Sekiranya diberi pilihan antara menonton atau membaca, saya lebih selesa memilih membaca. Mata saya cepat letih apabila menonton tv. Tengok-tengok, tv yang tonton saya. Namun, tahap kegagalan saya ketika menonton adalah bergantung kepada jalan cerita. Hanya cerita-cerita tertentu sahaja yang boleh membantu mata saya bertahan ketika menonton.
Malam ahad lepas, disebabkan sudah muak dengan program-program di siaran astro, saya selongkar rak VCD, terjumpa Grave of the Fireflies dan Ponette. Saya tanya Pu-are, nak tengok yang mana. Pu-are kata tak kisah. Saya pilih Grave of the Fireflies sebab saya memang suka anime.
Natijahnya, Pu-are tergelak hairan apabila saya dengan tiba-tiba menangis macam ‘bayi’ apabila tiba di penghujung cerita. Ades. Siap kena perli sebab selesai menonton pukul 12mlm, pukul lima pagi pun tak boleh berhenti menangis. Disebabkan malu, terpaksalah saya masuk menangis dalam bilik air. Hahahah. Malu beb. Kali pertama ‘termenangis’ di depan Pu-are. Dia pun terkejut. Saya pun tak fikir saya boleh menangis macam tu. Macam-macam cara saya cuba, termasuklah cuba buat-buat gelak. Tapi tak jalan. Saya pun tak pasti, apakah Pu-are yang hati batu atau saya yang macam lilin. Kata Pu-are, “Ceh, nampak muka macam ganas je….rupanya jiwang.”
Saya pun kompius. Huhu. Saya yang jiwang ke, Pu-are yang batu. Hanya orang yang pernah menonton Grave of the Fireflies saja yang boleh membuat penilaian terhadap tahap ‘kebanjiran’ yang mereka terpaksa alami. Huhu.
Grave of the Fireflies adalah sebuah filem animasi adaptasi daripada autobiografi Hotaru no Haka yang telah dihasilkan oleh Akiyuki Nosaka berdasarkan pengalaman peribadinya yang pernah kehilangan adik perempuan kecilnya sewaktu perang dunia kedua. Memang pertengahan abah ke-20 adalah suatu tempoh yang penuh dengan peristiwa tragis dalam sejarah kemanusiaan dan abad ke-20 itu sendiri wajar untuk dilabel sebagai abad yang berdarah berdasarkan ketinggian jumlah korban sama ada akibat peperangan atau keganasan politik.
Filem selama 88 minit ini diterbitkan pada tahun 1988 (saya belum lagi berusia 9 tahun) berlatarbelakangkan suasana sepanjang pengeboman Amerika ke atas Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Memaparkan kisah yang TERAMAT menyayat hati, bagaimana dua beradik, Seita yang berusia lebih kurang 14 thn dan adiknya Setsuko 4 thn telah menjadi yatim piatu apabila ibu mereka meninggal dunia dalam peristiwa pengeboman tersebut. Oleh kerana kediaman mereka telah hangus terbakar dalam peristiwa itu, kedua beradik ini berpindah ke Nishinoniya untuk tinggal bersama dengan ibu saudara mereka.
Namun, kehidupan pada zaman perang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui. Kekacauan, peperangan dan kekurangan banyak mencetuskan sikap mementingkan diri sendiri. Itulah yang digambarkan oleh dalam filem ini. Untuk menanggung dua orang anak saudara dalam keadaan perang begitu, bukanlah perkara yang mudah bagi ibu saudara Seito. Masalah catuan makanan, Setsuko yang sering menangis pada waktu malam (ini adalah perkara biasa bagi anak-anak yang kehilangan ibu) telah menyebabkan ibu saudara mereka menganggap Seito dan Setsuko sebagai bebanan dan keadaan ini telah menyebabkan Seito membuat keputusan untuk meninggalkan rumah ibu saudara mereka dan cuba hidup sendirian dengan tinggal di sebuah gua di tepi tasik yang sebelum itu sering menjadi tempat Seito membawa Setsuko berlindung setiap kali siren amaran serangan kedengaran. Seito mempunyai dua alasan iaitu berasa letih untuk sentiasa lari mencari tempat berlindung setiap kali siren berbunyi selain rasa egonya terhadap sikap ibu saudaranya yang melayan mereka berdua sebagai bebanan. Sebagai remaja lelaki, Seito pada usia begitu mula peka dengan tanggungjawabnya sebagai lelaki. Dan, kerana ego tersebut, walaupun mereka tidak mempunyai makanan, Seito berusaha sendiri dan tidak mahu kembali ke rumah ibu saudaranya.
Saat-saat yang Seito dan Setsuko lalui di dalam gua tinggal di tepi tasik itu tidak dapat saya gambarkan di sini kerana saya masih tidak dapat menahan diri daripada menangis apabila mengingatkan babak-babak yang menyayat hati itu, terutamanya bagaimana Setsuko terpaksa bermain-main sendirian di muka pintu gua kecil di tepi tasik itu ketika Seito keluar mencari makanan. Akhirnya, Setsuko mati akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan. Namun, pada waktu itu, tiada sesiapa yang akan mempedulikan orang lain. Perang memang membentuk manusia menjadi makhluk yang mementingkan diri sendiri.
Filem yang dimulakan dengan pemandangan di sebuah stesen keretapi di mana Seito telah menghembuskan nafasnya pada malam 21 September 1945, tidak dapat saya gambarkan tentang kesedihannya. Ternyata filem animasi ini mampu menyentuh hati, seolah-olah saya sedang melihat realiti pada waktu tersebut, seperti ia berlaku di hadapan mata.
Ayat terakhir yang disebut oleh Seito sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya adalah “Setsuko”.
Tiba-tiba, dengan hanya menonton sebuah filem animasi, saya terpaksa mengambil wuduk untuk menenangkan perasaan dan air mata yang tidak mahu berhenti, sehinggalah saya mengangkat tangan dan berdoa, “Ya Allah, lindungilah hamba-hamba-Mu yang menderita, yang terpaksa melalui kehidupan yang amat perit dan pedih di dunia-Mu ini. Lindungilah kami, hamba-hamba-Mu yang menderita ini.”
Saya, sebagai generasi yang masih belum diuji dengan pengalaman perang sebegitu, tentunya tidak mampu memahami hakikat sebenar sebuah kehidupan yang benar-benar pahit; di mana manusia tidak mempunyai tempat untuk lari daripada kekejaman sesama manusia. Dan suara tangisan tidak lagi mampu menghentikan kebinatangan di hati seorang manusia. Itulah……
Dan, saya sebenarnya sedang mendoakan diri sendiri, semoga saya tidak akan melalui pengalaman yang sebegitu, kerana saya tidak pasti apakah saya akan jadi manusia yang redha apabila menghadapinya, atau saya juga akan menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri….
rkukaudya said
em.
nak kena gi tengok gak ni. nak cek, hati ni made from stone or candle. he!